HUDUD datang dari ALLAH. apa HUKUM menolak HUDUD???




Tafsiran 3 ayat dlm surat AlMaidah yaitu ttg org yg tidak berhukum dgn hukum Allah.

Berikut perinciannya:

Ibn Jarir dalam tafsirnya jld. 10, hlmn. 357, Ibn al-Munzir dan Ibn Abi Hatim dalam al-Durar al-Mansur, jld. 3, hlmn. 38 telah memetik tafsiran Ibn Abbas r.a mengenai surah al-Maidah, ayat 44 di mana Ibn Abbas r.a (68H) berkata:

"Barangsiapa yang mengingkari syariat ALLAH maka hukumnya kafir. Barangsiapa yang (masih) mengakui kebenarannya dan tidak melaksanakannya pemerintahannya, maka dia seorang yang zalim lagi fasiq."

Al-Imam al-Nasafi r.h (701H) berkata ketika menafsirkan surah al-Maidah ayat ke-44 di dalam kitabnya tafsirnya, Tafsir al-Nafasi, jld. 1, hlmn. 323:

"Sesiapa yang tidak berhukum (dengan hukum yang diturunkan oleh ALLAH) kerana menentangnya maka dia kafir. Dan jika dia tidak menentangnya maka dia fasik dan zalim."

Al-Imam at-Thabari r.h ketika menafsirkan ayat tersebut berkata:

"Yang paling benar dari semua qaul-qaul ini menurutku ialah qaul yang mengatakan: Ayat ini diturunkan kepada kufar (orang-orang kafir) dari kalangan Ahl al-Kitab."

Asy-Syeikh Abdul Aziz bin Baaz r.h (1420H) ketika mensyarahkan perkataan al-Imam Abu Ja'far ath-Thahawi r.h (321H) dalam kitabnya, al-'Aqidah ath-Thahawiyah yang bermaksud: "Kita tidak mengkafirkan seseorang pun dari Ahl al-Kiblat kerana dosa-dosa yang dilakukan, selama dia tidak menghalalkan perbuatan dosa tersebut", berkata:

"Maksud beliau r.h (al-Imam Abu Ja’afar ath-Thahawi): Sesungguhnya Ahl al-Sunnnah wa al-Jama’ah tidak mengkafirkan seorang Muslim yang bertauhid, beriman kepada ALLAH dan hari akhir. Mereka tidak dikafirkan kerana perbuatan dosa yang mereka lakukan, iaitu dosa semisal: zina, minum khamar (arak), riba’, derhaka kepada orang tua dan sejenisnya, selama pembuatnya tidak menganggap halal perbuatan tersebut. Namun apabila pelakunya menganggap halal perbuatannya, maka mereka termasuk kufur kerana statusnya telah mendustakan ALLAH dan Rasul-NYA serta keluar dari agama. Apabila mereka tidak menganggap halal perbuatan dosanya, maka mereka tidak dikafirkan menurut fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka dianggap seorang mukmin yang lemah imannya."

Al-Imam al-Qurthubi r.h (671H) menerusi kitab tafsirnya, Jami' al-Bayan li Ahkam al-Qur'an, jld. 6, hlmn. 190 mengemukakan tafsir para mufassirin berkenaan ayat di atas:

"Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan ALLAH kerana menolak al-Qur'an dan menentang sabda Rasulullah s.a.w maka dia adalah kafir."

Al-Imam asy-Syaukani r.h (1250H) menerusi kitab Fath al-Qadir, jld. 2, hlmn. 56 telah membawakan riwayat Ibn Jarir, Ibn al-Mundzir dan Ibn Abi Hatim yang menerangkan tafsiran Ibn Abbas r.a terhadap surah al-Maidah ayat 44 di atas di mana beliau (Ibn Abbas r.a) berkata:

"Sesiapa menentang berhukum dengan hukum apa yang diturunkan oleh ALLAH maka sesungguhnya dia telah kafir. Dan sesiapa yang mengakui hukum ALLAH itu tetapi dia tidak berhukum dengannya maka dia zalim dan fasiq."

Al-Imam Fakhr ad-Din ar-Razi r.h (606H) menerusi kitab tafsirnya, Tafsir al-Kabir, jld. 6, hlmn. 11-12 berkata:

"Ikrimah berkata: Firman-NYA (sesiapa yang tidak berhukum dengan apa diturunkan ALLAH), sesungguhnya ia berkaitan dengan orang yang mengingkari (menentang) dengan hati dan menentang dengan lisannya. Adapun sesiapa yang mengetahui dengan hatinya keadaan hukum itu sebagai hukum ALLAH (yang wajib diimani –pen), dan dia juga mengakui dengan lisannya keadaan hukum itu sebagai hukum ALLAH, tetapi dia mendatangkan dengan apa yang bercanggah dengan hukum ALLAH tersebut, maka dia juga dikira (masih termasuk dalam golongan mereka yang) berhukum dengan apa yang diturunkan oleh ALLAH. Dia hanya dianggap telah meninggalkan berhukum dengan hukum ALLAH. Maka dia tidak masuk di dalam hukum ayat ini (surah al-Maidah, ayat ke-44) dan inilah jawapan yang sahih, wallahu a'lam."

Al-Imam Ibn Abil ‘Izzi ‘Abdis Salam r.h dalam kitabnya Syarh al-Aqidah ath-Thahawiyah, hlmn. 323-324 menyebut:

"Di sini wajib untuk kita berfikir (secara cemerlang) bahawa berhukum dengan selain yang diturunkan ALLAH kadang-kadang boleh menjadi kafir yang mengeluarkan pembuatnya dari Islam (kafir akbar) dan kadang-kadang boleh menjadi maksiat besar atau kecil atau boleh jadi kafir majazi atau kafir asghar (kecil), yang demikian sesuai dengan keadaan hakim/perlaksanaan hukum itu. Apabila dia meyakini bahawa berhukum dengan selain yang diturunkan ALLAH adalah tidak wajib dan bahawa dia diberi kebebasan (untuk berhukum dengannya atau tidak) atau dia menghina hukum ALLAH bersamaan dengan keyakinannya bahawa ia adalah hukum ALLAH, maka ini adalah kafir akbar. Apabila dia meyakini wajib berhukum dengan apa yang diturunkan ALLAH dan dia mengetahuinya tapi dia berpaling darinya, bersamaan dengan pengakuannya bahawa dia berhak mendapat hukuman (atas perbuatannya berpaling dari hukum ALLAH), maka orang ini telah berbuat maksiat dan ini dinamakan dengan kafir majazi atau kafir asghar."

Berdasarkan kepada nukilan keseluruhan tafsiran para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap surah al-Maidah ayat ke-44 di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa seseorang yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH, akan tetapi pada masa yang sama masih memperakui hukum tersebut sebagai hukum ALLAH dan tidak mengingkarinya, maka dalam hal ini dia masih dianggap sebagai seorang muslim. Hanya saja tindakannya meninggalkan hukum ALLAH S.W.T tersebut memungkinkan dia termasuk dalam salah satu daripada dua kategori berikut, sama ada:

PERTAMA

Dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang fasiq (al-Maidah, ayat 47).

KEDUA

Dia termasuk dalam kalangan orang yang zalim (al-Maidah, ayat 45). Adapun urusannya dengan ALLAH, maka terpulanglah kepada kehendak ALLAH, sama ada mahu mengazabnya atau pun mengampuninya.

Dalam hal ini, Ibn Mas'ud r.a (32H) berkata yang bermaksud: "Ayat ini (iaitu surah al-Maidah, ayat 44) (adalah bersifat) am (umum) iaitu diturunkan kepada semua yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh ALLAH, sama ada dari kalangan Muslimin, Yahudi atau Kuffar. Adapun (orang Islam) yang mempercayai (mengimani kewajipannya) dan kemudian ia menghalalkan (tidak melaksanakannya) dari berhukum dengan hukum Allah, maka sesiapa yang melakukan seperti itu sedangkan dia percaya dirinya melakukan yang haram, maka dia tergolong dari golongan muslim yang fasiq (bukan kafir), maka urusannya dikembalikan kepada ALLAH, jika dikehendaki (dia akan) diazab dan jika dikehendaki (dia) diampunkan."
loading...

0 Response to "HUDUD datang dari ALLAH. apa HUKUM menolak HUDUD???"

Post a Comment

Didakwah