5 Pengajaran Penting Dalam Perjalanan Agung, Israk Mikraj

Kongsikan di

Setiap kesedihan dan kesusahan akan Allah berikan pertolongan dan hilangkan dukacita manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi telah dilanda dengan pelbagai ujian dan musibah seperti kematian isteri Baginda dan bapa saudaranya.




Israk Mikraj adalah sebuah peristiwa yang terkandung sejuta keajaiban dan kebesaran Allah yang tidak terjangkau pada pemikiran manusia biasa. Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperoleh pelbagai pengajaran berharga yang dapat dijadikan iktibar dan mengukuhkan lagi ketaqwaan sebagai hamba Allah SWT.
Alangkah ruginya kita jika tidak dapat mengambil pengajaran dari peristiwa Israk dan Mikraj ini, antaranya ialah;

#1 – Kesedihan Dunia, Pengubatnya Allah

Setiap kesedihan dan kesusahan akan Allah berikan pertolongan dan hilangkan dukacita manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi telah dilanda dengan pelbagai ujian dan musibah seperti kematian isteri Baginda dan bapa saudaranya.
Bahkan Baginda dicemuh dengan hebat dalam usaha dakwah contohnya di Thaif. Baginda telah dituju dengan batuan dan dakwahnya langsung tidak diterima oleh penduduknya. Tahun itu adalah tahun dukacita bagi Rasulullah SAW. Tidak lama kemudian, Allah perintahkan agar berlakunya Isra Mikraj sebagai pengubat dan hadiah kepada Baginda.
Ini memberi pengajaran kepada kita sebagai umat Islam agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT. Terutamanya ketika menghadapi kesulitan hidup. Serta, jauhilah segala larangan Allah dan berterusanlah meningkatkan keimanan kepadaNya agar menjadi hamba yang sentiasa disayangi Allah SWT.

#2 – Kepentingan Solat Fardhu

Terpenting adalah tentang solat lima waktu sehari semalam. Antara kewajipan mendirikan solat dengan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubungan begitu mendalam sehingga digelarkan solat itu sebagai al-Mikraj al-Ruhi.
Kewajipan solat melebihi kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima secara langsung daripada Allah sewaktu Rasullullah SAW bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan.
Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

#3 – Menjauhi Perkara Mungkar Dan Maksiat

Semasa Israk Mikraj, ketika Rasulullah SAW dibawa meninjau keadaan di neraka, Baginda juga melihat pelbagai bentuk penyeksaan, seperti hukuman kepada pemakan riba, penzina, pengumpat yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.
Baginda juga ditunjukkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala.
Ini memberi iktibar supaya kita menjauhi semua perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Jika perbuatan itulah yang dilakukan, balasan seperti itulah yang bakal diterima kelak.

#4 – Mengakui Kebesaran Allah SWT

Sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Rasulullah SAW akan keagungan dan keajaiban ciptaanNya, yang sememangnya tidak pernah dibayangkan oleh manusia.
Baginda dibawa ke sebuah tempat yang bernama Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi. Sesunguhnya Allah sentiasa mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya.
Sebagai hamba kerdil yang diciptakan untuk beribadah kepadaNya, kita wajib yakin dan percaya akan semua kekuasaan Allah SWT itu.

#5 – Amalan Memberi Salam

Sepanjang Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada para rasul yang Baginda temui. Ini memberi pengajaran kepada kita untuk melakukan hal yang sama. Ini sebagai penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan antara saudara sesama Islam.
Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Hanya kepada Nabi Muhammad SAW untuk diikuti oleh umatnya.
Banyak pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya dalam melihat keistimewaan yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW sebagai bukti kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.
Israk Mikraj juga adalah ujian buat diri umat silam bagi menguji tahap keyakinan dan keimanan tentang kesahihan berlakunya peristiwa itu. Peristiwa ini juga adalah perihal iman dan hati. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang dapat menghayati hikmah dan mengambil pengajaran di sebalik peristiwa agung ini.





Sumber : tazkirah.net
loading...

0 Response to "5 Pengajaran Penting Dalam Perjalanan Agung, Israk Mikraj"

Post a Comment

Didakwah